Ini adalah entri pertama saya yang sangat panjang. [dan dalam Bahasa Melayu yang sempurna ;)]
Pada masa kini, penglibatan mahasiswa dalam politik tidak
lagi menjadi buah mulut atau isu besar yang perlu dipertikaikan lagi. Umum
mengetahui, mahasiswa kini lebih bijak menilai dengan bantuan segala jenis
sumber maklumat. Malah mahasiswa tidak lagi buta politik. Mahasiswa bertindak
sebagai agen penyebaran maklumat yang berkaitan dengan isu-isu semasa dalam
Negara khususnya. Secara tidak langsung mahasiswa turut turun berkempen untuk
parti yang disenangi mereka.
Tambahan pula rentetan pindaan Akta Univeisiti dan Kolej
Universiti (AUKU) 1971, mahasiswa telah mengambil selangkah maju dengan
menghantar calon untuk bertanding pada Pilihan
Raya Umum ke 13 yang akan diadakan tidak lama lagi. Gerakan Mahasiswa 13
(GM 13) yang terdiri dari beberapa perwakilan mahasiswa universiti telah
memutuskan untuk menghantar calon mahasiswa bertanding pilihan raya umum dengan
membawa manifesto “Polisi Baharu Pengajian Tinggi Negara”.
Pencalonan mahasiswa dalam pilihan raya umum adalah didasari
dengan matlamat mereformasi sistem pengajian tinggi di Negara ini. Pihak
mahasiswa juga telah merasmikan Manifesto Mahasiswa yang terdiri daripada 8
teras utama. Kelapan-lapan teras ini menekankan penambahbaikan institusi
pengajian tinggi Malaysia. Langkah ini menunjukkan keseriusan mahasiswa dalam
mengetengahkan isu pendidikan peringkat pengajian tinggi yang dirasakan gagal
melahirkan mahasiswa yang berkemahiran berinteraksi dan berfikiran terbuka.
Sebaliknya berterusan menghasilkan pekerja semata-mata bagi memenuhi keperluan
industri.
Antara aspek penekanan GM 13 adalah kebebasan akademik yang
membolehkan ahli akademik, sama ada mahasiswa mahupun kakitangan akademik untuk
menyuarakan pendapat berkaitan dengan segala aspek, tidak kira di dalam atau di
luar kampus.
Selain itu gerakan ini juga menawarkan pendidikan percuma
yang mana sudah pasti meringankan beban 4.6 peratus mahasiswa dari 28.3 juta
penduduk Malaysia. Malah memudahkan urusan menyambung pengajian bagi bakal
mahasiswa.
Namun begitu, kita juga harus melihat dari satu sudut
pandang lain yang mempersoalkan kemampuan mahasiswa dalam menguruskan sesebuah
organisasi politik. Bukan memperlekehkan atau merendahkan tetapi untuk
menimbang tara kemampuan mahasiswa tersebut dalam menyeimbangkan tanggungjawab
politik serta tanggungjawabnya sebagai mahasiswa yang perlu menghadiri kelas, menyiapkan
tugasan kuliah, perbincangan tugasan dan tidak lupa ujian serta peperiksaan.
Kesemua ini memerlukan masa dan tenaga untuk fokus. Apa yang kita bimbang, mahasiswa akan keletihan
dan ada komitmen yang mungkin tidak dapat dipenuhi.
Keterlibatan mahasiswa dalam dunia politik sebagai ahli
politik juga mengundang persolan berkaitan dengan pengalaman dan ilmu
berpolitik yang terdapat pada mahasiswa tersebut. Ada pihak mendakwa pengalaman
berpolitik dalam kampus membantu namun hakikatnya harus disedari bahawa politik
kampus dan realiti semasa dunia luar adalah jauh berbeza. Cabaran yang bakal
dihadapi lebih realistik dan seringkali bermain dengan pelbagai sentimen.
Menjadi ahli politik memerlukan mahasiswa untuk stabil dari segi
emosi dan tindak tanduk. Kata lainnya, mahasiswa perlu dipersiapkan dahulu
dengan kekuatan dalaman dan luaran bagi menghadapi segala jenis ancaman. Mahasiswa
haruslah bertindak matang dalam memberi sebarang keputusan. Tidak boleh
terburu-buru dan teragak-agak. Setiap keputusan haruslah difikirkan kesannya
terhadap orang lain. Malah keputusan tidak boleh ditarik semula atau dinafikan.
Selain itu, ahli politik adalah figura awam yang pastinya menjadi
tumpuan di setiap penjuru dunia. Tambahan pula dengan status mahasiswa pasti
nama unversiti dan nama ‘mahasiswa’ sendiri haruslah dijaga dengan baik. Maka
dengan itu mahasiswa tersebut perlulah menunjukkan dan menjadi contoh terbaik
agar tidak timbul spekulasi yang bukan-bukan tentang mahasiswa secara amnya. Ini
kerana sekecil-kecil kesilapan mungkin akan dijadikan isu yang boleh
menjatuhkan pihak universiti atau individu tersebut.
Sebahagian mengatakan penglibatan mahasiswa hanyalah sebagai
gimik bagi membuktikan keseriusan suara mahasiswa, ada juga yang berpendapat
langkah ini diambil bagi membuka mata dan memberi kesedaran kepada masyarakat
tentang pendidikan politik dan tidak ketinggalan juga sebagai bukti mahasiswa
tidak lagi hidup seperti katak di bawah tempurung. Sejauh mana kebenarannya,
hanya Tuhan yang tahu.
Konklusinya, mahasiswa berhak berpolitik selagi mana tidak
mengabaikan tanggungjawabnya yang lain, hatta untuk masuk bertanding adalah
daripada pertimbangan masing-masing. Apa yang penting, mahasiswa harus celik
politik kerana masa depan Negara berada dalam tangan mahasiswa.
Ada juga saya terfikir, mengapa GM13 tidak menggabungkan manifestonya dengan manifesto PR, kerana ada persamaan major di situ.. Apa pandangan anda?
Apa pula pandangan anda mahasiswa bertanding PRU?
Apa pula pandangan anda mahasiswa bertanding PRU?
#betul, inilah tulisan original saya! hehe
No comments:
Post a Comment